Sunday 9 December 2012

Rebut Peluang Pendidikan 'Percuma' Sambil Menabung Bagi Pendidikan Tinggi Anak - Suatu pandangan

Setelah 'berehat' agak panjang tanpa menulis "pandangan saya", kali ini tergerak hati untuk berkongsi pandangan di dalam isu berkaitan pendidikan anak-anak.

Secara spesifiknya - bagaimana kita, sebagai ibubapa boleh merebut peluang (dan memanfaatkan) "pendidikan percuma" yang ditawarkan kerajaan kepada "semua warganya" di samping memotivasikan kita supaya menabung (dan mempersiap sumber kewangan yang mencukupi) bagi menampung kos pendidikan anak-anak di peringkat universiti mahupun lepasan ijazah pada masa hadapan.

Sebagai nota awal, suka saya ingatkan kepada para pembaca bahawa angka, pengiraan dan jumlah yang dinyatakan hanyalah CONTOH semata-mata dan tidak semestinya tepat bagi menggambarkan situasi sebenar. Rajah-rajah yang dibentangkan hanyalah bertujuan memberikan gambaran serta memandu pembacaan dan kefahaman pembaca supaya lebih inklusif terhadap isu yang dikupas. Daripada kefahaman ini adalah diharapkan para pembaca boleh mengubahsuai angka, nilai dan jumlah berpandukan kesesuaian, kemampuan dan perancangan kewangan masing-masing. Harap jelas dan maklum.

Pendidikan - Melayu tercicir?

Ilmu adalah harta yang paling berharga, lebih berharga daripada harta fizikal yang kita kejar dan kumpul saban hari dan waktu. Berbanding harta fizikal seperti kereta, motosikal, mahupun wang berjuta di Bank - tetap terdedah kepada risiko pengurangan mahupun kehilangan (kecurian dan kerosakan).

Tetapi ilmu yang kita kuasai, yang berada di dalam kepala kita, tiada siapa yang mampu mencurinya.

Ilmu juga menjadi asas pembentukan kepada sesebuah tamadun. Ilmulah yang melahirkan teknologi. Dari teknologi lahirlah produk, sistem dan "masa depan". Justeru, ketinggian sesuatu tamadun tidak hanya diukur berdasarkan tingkat pembangunan fizikal dan material, bahkan menerusi betapa tingginya tahap keilmuan bangsanya.

Di antara aspek yang mendasari perkembangan ilmu adalah keupayaan sesebuah bangsa dan negara itu memperoleh pendidikan dan kemudian mencipta dan menguasai bidang-bidang ilmu yang begitu luas.

Sebagai seorang pendidik, sukar untuk saya menerima tanggapan bahawa orang Melayu di Malaysia dipinggirkan di arus pendidikan di negara sendiri. Ini kerana pelbagai kemudahan dan akses kepada pendidikan di semua peringkat telah disediakan oleh pihak kerajaan menerusi kementerian yang terlibat.

Tentu sahaja sistem pendidikan yang kita ada hari ini 100% sempurna. Namun peluang pendidikan yang sedang kita kecapi hari ini adalah jauh lebih lengkap, tersusun dan responsif, sehingga "begitu dicemburui" kebanyakan negara membangun (dan negara maju) lain di dunia.

Saya percaya anda pernah mendengar perumpamaan ini:

"kita boleh membawa kuda kepada air, tetapi kita tidak dapat memaksanya minum (air itu)".

Samalah juga dengan isu berkait pendidikan yang menghimpit bangsa Melayu. Pihak yang terlibat boleh menyediakan kemudahan dan membuka akses serta peluang yang sama rata untuk semua kaum mendapatkan pendidikan di sekolah (tadika, rendah, menengah). Selebihnya (iaitu sama ada nak ambil peluang atau tidak) adalah terserah kepada individu itu sendiri.

Jika kita melihat bangsa lain berjaya dan meningkat maju, sedangkan mereka juga mengikuti (menuruti) sistem pendidikan yang sama dengan apa yang bangsa kita sedang ikuti, mengapa tidak kita sorot apa sebenarnya kelemahan yang ada dan masih membelenggu "pihak kita" (selain hanya nak salahkan pihak lain)?

Menabung "seumpama menghantar anak belajar di sekolah swasta"

Rujuk rajah di bawah untuk memandu perbincangan bahagian ini. Saya sebetulnya ingin membawa satu cadangan, iaitu ibubapa hendaklah membudayakan amalan menabung sejumlah wang khusus untuk pendidikan anak-anak, SEOLAH-OLAH kita sedang membiaya pendidikan mereka di sekolah swasta.

Tujuan utama "pelaburan" tersebut (wang yang kita simpan itu) adalah sebagai "safety net" berperanan menampung kos pengajian anak-anak sekiranya diperlukan mereka selepas alam persekolahan - iaitu menyambung pelajaran di universiti (menggunakan wang yang kita tabung). 

Langkah beringat-ingat bak "menyediakan payung sebelum hujan" ini saya lihat semakin perlu sekiranya mereka (anak-anak) tidak mendapat biasiswa atau pinjaman pelajaran pada masa hadapan (sebab terlalu ramai orang cerdik yang memohon).

RAJAH 1


Berpandukan rajah di atas, saya hanya gunakan nilai tabungan RM1,250/bulan atau RM15,000/tahun sebagai "target" tabungan bagi ibubapa agar dapat "self-sustain" dari segi dana pendidikan (sekiranya tidak berjaya mendapatkan pinjaman mahupun biasiswa untuk meneruskan pelajaran anak ke IPT, sama ada di dalam mahupun luar negara kelak).

Nilai tabungan RM15,000/tahun ini jika sekali pandang memanglah besar dan "berat" untuk disediakan oleh ibubapa terutama yang berpendapatan sederhana. Maka di sinilah perlunya anda merancang peruntukan tertentu (secara tetap) untuk anak-anak. Salah satu caranya adalah dengan menabung ke dalam skim takaful pendidikan dengan nilai RM yang dirasakan berpadanan dengan pendapatan anda.

Mengapa RM15,000/tahun? Ini dapat saya jelaskan dengan berpandukan rajah berikutnya - iaitu kos yang diperlukan "seolah-olah" anda biaya pendidikan anak anda di sekolah swasta. Cuma, bezanya anda keluarkan wang (dan masuk skim takaful pendidikan) dan menggunakan platform sekolah kerajaan yang percuma (tentulah tidak 100% percuma, tapi pada kos yang jauh lebih rendah).

RAJAH 2


Jika anda perhatikan rajah di atas, nilai tabungan RM15,000/tahun itu adalah masih rendah berbanding kos yang perlu anda sediakan bagi menghantar seorang anak belajar di sekolah swasta seperti Tenby School

Lihat kos di Tenby bagi murid Darjah 1 (RM4,800 x 3 = RM14,400), dan kos tersebut terus meningkat bagi tahun-tahun pengajian berikutnya.

Justeru, sasaran untuk "menyaingi" nilai tabungan RM15,000/tahun (atau RM1,250/bulam) adalah sesuatu tindakan yang realistik, bagi anda yang berpendapatan tinggi dan lumayan. Cuma, bagi golongan kebanyakan (pertengahan), anda juga perlu lebih realistik dari segi kadar yang mampu ditabung. Yang penting adalah memulakan budaya menabung sejmumlah wang secara tetap, demi pendidikan anak. Jangan tiada langsung "safety net" itu!

Berbalik kepada Rajah 1, sekiranya anda berupaya membuat tabungan RM1,250/bulan selama 5 tahun dengan pulangan 10% per tahun, menjelang si anak tamat Darjah 6 (UPSR), tabungan untuk 1 anak sudah mencapai RM100,000+.

Dan sekiranya anda memilih untuk meneruskan pelajaran anak di sekolah kerajaan tetapi mahu teruskan menabung, sehingga umurnya 17 tahun dan si anak selesai SPM, wang yang ditabung bagi pendidikan 1 anak dijangka boleh mencapai RM260,000+.

Saya kira dengan dana terkumpul yang mencecah RM260,000 ini, besar kemungkinan anda mampu membiayai pendidikan anak di peringkat IPT terbaik (terutama di luar negara), tanpa perlu bergantung kepada bantuan kerajaan (biasiswa mahupun pinjaman PTPTN). Sekarang inipun pelajar sudah ada pilihan dengan kebanjiran banyak universiti terkenal dari UK, Australia dan US yang membuka cawangannya di Malaysia. Justeru, adalah tidak mustahil trend ini akan berterusan pada masa hadapan.

Kita wajar menyorot kaedah komuniti Cina Malaysia yang SUDAH LAMA memanfaatkan peluang pendidikan percuma yang disediakan oleh pihak kerajaan. Lihat keratan berita di bawah dan renungkan:


Sekalipun ramai yang mengeluh mereka terpaksa menanggung hutang pelajaran "sampai tua", kita juga wajar menghisab diri, selain mencontohi semangat kaum Cina (yang positif) di dalam memanfaatkan klausa "pinjaman tukar jadi biasiswa" yang ditawarkan oleh pihak kerajaan melalui PTPTN. 

Tidak hairanlah, peluang meneruskan pendidikan secara percuma ini direbut sepenuh dan seoptimum mungkin oleh kaum Cina dengan hampir 73% pelajar kaum ini mendapat pengecualian daripada membayar balik pinjaman pelajaran mereka. Kalau ada 100 pelajar Cina, 73 orang daripadanya dikecualikan pembayaran semula. Ini suatu pencapaian yang positif dan wajar kita contohi!

Dan, bagaimana pula dengan status kaum Melayu kita? Setahu saya, ramai kalangan pelajar Cina juga mengambil jurusan yang "maut", tetapi mereka masih memperoleh Ijazah Kelas Pertama. Mengapa Melayu yang mengikuti proses dan program yang sama masih gagal bersaing di situ? 

Inilah perkara yang wajar dikaji dan diselidiki, dan seterusnya dicarikan "penawar". Andainya pelajar Melayu dapat "melihat secara sungguh-sungguh" kelebihan dan peluang yang ditawarkan menerusi dasar ini, saya yakin mereka tentu akan merebutnya sedaya mungkin. Malah tidak mustahil, keseimbangan yang lebih logik mampu dicapai oleh pelajar Melayu.

Kesimpulan

Di akhirnya, sistem pendidikan di Malaysia saya simpulkan masih menawarkan peluang terbaik bagi mereka yang kuat berusaha, untuk merasai keuntungan daripada penyediaan dasar "pendidikan percuma".

Sedari sekolah Rendah (UPSR), sekolah Menengah (SPM) bantuan kerajaan telah membantu meringankan beban kewangan ibubapa untuk menampung kos persekolahan (berbanding jika bersekolah swasta). Namun, ibubapa adalah digalakkan untuk menabung (dalam skim takaful pendidikan contohnya), sebagai langkah jangka panjang bagi anak-anak.

Tamat SPM dan menyambung pelajar di IPT pula, pelajar diberi kemudahan pinjaman PTPTN (jika gagal mendapatkan biasiswa), dan diberi peluang ke-2 melalui dasar pengecualian pembayaran balik pinjaman jika memperoleh Ijazah Kelas Pertama - sesuatu yang wajar diutamakan dan direbut. 

Akhirnya, tamat pelajaran dengan Ijazah Kelas Pertama dan bebas dari belenggu hutang. Yang ada cuma terhutang budi kepada kedua ibubapa yang menanggung perbelanjaan makan dan minum serta perbelanjaan tambahan. Jika si anak berjaya menuruti jalan ini, dan ibubapa sudah menyediakan dana RM260,000 tanpa digunakan si anak, bayangkan manfaat yang dapat digandakan daripada wang sebanyak itu!!!

Hari ini, tiada yang datang bergolek, melainkan kita perlu berusaha merebutnya. Mengapa tidak kita galakkan anak-anak berusaha kuat memanfaatkan kemudahan yang terhasil oleh wang cukai yang kita juga bayar?

Maka, berpesanlah kepada anak-anak:

TOLONG REBUT DAN MANFAATKAN PELUANG YANG TERSEDIA!

No comments: