Friday 3 February 2012

Pakatan Rakyat & PRU-13: Beberapa 'janji' yang bakal 'dituntut' rakyat Malaysia!

Perasaan siapakah yang tidak gembira apabila mendapat tahu bahawa kelak tol akan dimansuhkan, harga minyak akan diturunkan, hutang pelajaran akan 'ditolong bayarkan', lot tanah akan diagihkan dan cukai pendapatan (untuk mereka yang berpendapatan kurang dari RM5 ribu) bakal dihapuskan.

Segala tawaran di atas saya lihat amatlah bertepatan selain begitu selari dengan 'Tawaran Berkebajikan' yang dilancarkan pihak Pakatan Rakyat. Rakyat Malaysia perlu merasa bertuah dan buat 'sujud syukur' kerana bukannya mudah anda dijanjikan tawaran-tawaran sedemikian tatkala realiti global menunjukkan penguncupan ekonomi yang begitu membimbangkan.

Saya tidak tahulah bagaimana anda boleh/tidak menerima serta menilai tawaran-tawaran seperti yang saya nyatakan. Tetapi bagi orang yang skeptikal seperti saya, ianya (janji di atas) tidak lebih sekadar satu bentuk gula-gula pilihanraya versi Pakatan Rakyat


Soalnya, apakah rakyat perlu terus mendakap dan menerima sebulat hati tawaran/janji tersebut? Atau mereka juga perlu mengambil pendirian sedikit berhati-hati (atau skeptikal), terutama jika sebelum ini mereka turut skeptikal di dalam menilai gula-gula pilihanraya versi Barisan Nasional.

Saya kira janji-janji "kalau menang" oleh kedua pihak merupakan suatu yang baik biarpun kadang-kala nampak diutarakan separa-matang (seperti nak berbelanja tanpa melihat wang di dalam poket). Barangkali juga, janji "kalau menang" bukan termasuk di dalam kategori "rasuah yang perlu dilawan" oleh pihak Pakatan sendiri....

Selain tawaran 'penurunan' harga minyak, janji serta tawaran lain lazimnya bersifat 'menghapus' atau 'memansuhkan' sesuatu perkara/isu, yang dikatakan menekan kehidupan rakyat.

Tawaran yang dibuat juga saya simpulkan jauh lebih cemerlang berbanding model negara-negara maju di Skandinavia yang hingga ke hari ini masih mengutip cukai yang tinggi, tetapi di masa yang sama menjaga amalan urustadbir yang telus dan cekap sehingga kadar rasuah dan salah urustadbirnya begitu rendah!

Lazimnya janji-janji yang ditaburkan juga lebih memihak kepada isu-isu ekonomi rakyat. Manakala aspek lain seperti tawaran menurunkan penyakit sosial, memakmurkan dakwah, memenuhkan Masjid dengan aktiviti agama, meningkatkan kefahaman rakyat terhadap agama, saya lihat agak kurang (bukan tiada!) diangkat sebagai modal penting kedua-dua pihak.

Di sini saya cuba menyenaraikan sejumlah kecil janji-janji yang dibuat oleh Pakatan Rakyat kepada rakyat Malaysia (dan warga negeri tertentu) sekiranya mereka dibenarkan mengambilalih tampuk pemerintahan kerajaan Malaysia selepas PRU-13 kelak oleh ANDA (pengundi).

Rasa saya banyak lagi janji-janji yang dibuat dan telah dihebahkan. Barangkali pencarian saya tidak menyeluruh sehingga tidak memasukkan banyak lagi janji-janji mereka yang lainnya.

Saya juga tidak memetik sumber Buku Jingga, kerana anda yang berminat boleh menelitinya secara lebih lanjut di sini: BUKU JINGGA

Sinopsis janji: Malaysia kita kaya dengan tol. Malah ramai yang jadi miskin kerana menjadi 'hamba tol' sekalipun bekerja dari pukul 8 pagi - 5 petang. Dan tidak kurang ada yang menjadi kaya-raya kerana mengutip tol. DAP komited membawa isu hapus tol PLUS ini apabila PR berkuasa kelak. Secara matematik orang berniaga, rakyat diterapkan dengan fahaman 'berniaga jangan sampai rugi tapi jangan untung banyak sangat'. Menurut Guan Eng, selama beroperasi PLUS bukan sahaja 'tidak rugi' bahkan menguat untung 'lebih 3 kali lipat'. Justeru, tol PLUS sudah boleh dihapuskan. Bayangkan apabila tiada tol, tidak mustahil kos pengangkutan dapat dikurangkan dan harga barang dapat distabilkan? Kan? (namun begitu timbul persoalan mengenai dari mana pula wang yang cukup boleh diambil bagi tujuan penyelenggaraan PLUS dari JB ke Bukit Kayu Hitam yang bukan sejuta-dua kosnya?)

Sinopsis janji: Kepercayaan lazim adalah "apabila harga minyak diturunkan, maka kos pengangkutan akan turun dan harga barang boleh dikurangkan". Dari segi pengurusan kerajaan pula, pertambahan peruntukan bagi menampung subsidi minyak/bahan api bakal memberi kesan terhadap peruntukan pengurusan lain yang juga perlu buat rakyat seperti pendidikan, kesihatan, pembangunan dan sebagainya (yang dilihat bakal terjejas kerana banyak wang bakal 'disedut' untuk menstabilkan harga minyak). Namun begitu, sekiranya PR berjaya mengawal rasuah dan ketirisan, selain memulangkan royalti kepada negeri-negeri yang berhak, mungkin kesan buruk tersebut sedikit terkawal, atau barangkali masih lebih baik berbanding cara pengurusan kerajaan yang sekarang ini.

Sinopsis janji: Isu Kg Baru telah begitu lama berlarutan, dan kemuncaknya apabila Rang Undang-Undang Akta Perbadanan Pembangunan Kg Baru ingin diwartakan. PR semasa program 'Selamatkan Kg Baru' telah mengumumkan komitmen mereka untuk memansuhkan sama sekali Akta Kg Baru 2011 sekiranya menjadi kerajaan kelak. Tidaklah jelas adakah Akta tersebut yang salah, atau kerana adanya 'agenda tersembunyi' pihak-pihak tertentu yang ingin memperpecatkan proses pembangunan semula Kg Baru yang begitu bernilai tinggi lagi strategik itu. Jika PR dapat menyelamatkan Kg Baru, maka apakah 'rupa' perkampungan tersebut pada masa depan? Kekal dengan masalah dan wajah yang sebegitu?

Sinopsis janji: Merupakan hasrat murni PAS untuk menyediakan lot tanah kepada rakyat Pahang yang belum mempunyai rumah selain menyelesaikan masalah mendapatkan hakmilik tanah yang dituntut bertahun lamanya. Tanah adalah seperti air, sumber yang begitu penting kepada semua orang baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggalkan dunia. Menurut Tuan Ibrahim, janji PAS itu boleh dilaksana melalui dokongan padu semua pihak. Antara yang difikirkan beliau adalah pembukaan Felda Plantation melibatkan tanah seluas 143,000 hektar yang secara langsung akan memberikan tapak rumah kepada kira-kira 40,000 peneroka. Tawaran ini menarik, tetapi bolehkah projek dengan skala 'mega' itu disiapkan dalam tempoh masa yang singkat? (secara realistiknya proses perancangan - iaitu kenalpasti tapak yang sesuai, buat pelan, pinda pelan, lulus pelan, ambil tanah, bersih tanah, bina infrastruktur, tanam sawit, tunggu hasil, etc. pastinya mengambil masa yang panjang).

Sinopsis janji: Membuatkan ramai anak Kelantan akan tersenyum riang kerana janji Dato Husam, setelah PR menang dan Kelantan menerima wang royalti minyak, maka ianya akan dimanfaatkan untuk 'menolong membayar' hutang PTPTN yang terdiri dari kalangan anak-anak Kelantan. Tidak pernah lagi saya dengar kerajaan lain di dunia ini yang begitu berkebajikan sehingga hutang individu pun ingin dibayar. Hebat Kelantan! Cuma, jangan lupa untuk melengkapkan jaringan bekalan air bersih ke seluruh negeri apabila sudah dapat banyak wang nanti ya... 

Sinopsis janji: Barangkali untuk menyaingi BR1M (pemberian RM500 bagi isirumah berpendapatan di bawah RM3000), pihak PR tampil dengan tawaran lebih lumayan iaitu mengecualikan cukai pendapatan bagi individu yang berpendapatan kurang RM 5000/bulan.

Contoh bagaimana kerajaan membelanjakan wang anda (pembayar cukai) (google image)

Tujuan saya senaraikan beberapa janji ini adalah NAK BAGI RAKYAT CELIK (dan juga untuk membantu saya dan ANDA/pengundi) membuat 'audit' atau SEMAKAN BAGI TUJUAN TUNTUTAN kepada mereka setelah berkuasa kelak.  

Bukannya apa, "Melayu Mudah Lupa".

2 comments:

Badrul Hisham Abdul Kahar said...

Ana suka artikel enta ini. Janji & berjanji memang best BUT bila nak implement baru terasa realiti bkn fantasi. In fact nak hapus AUKU pun, bila betul2 kena batang hidung baru mencari pelindung .....

Dr Sepet said...

Terima kasih Abg Bad. Terima kasih juga kerana bangkitkan isu AUKU yang saya terlupa untuk masukkan.