Friday 31 August 2012

"Cerita-Cerita Kejayaan" Penswastaan - jangan iri hati...

TV3

Lesen penyiaran televisyen swasta pertama diberi kepada Sistem Televisyen (Malaysia) Berhad (TV3) pada tahun 1983. Pemegang utamanya ketika itu termasuk Kumpulan Fleet (syarikat pegangan UMNO), Kumpulan Utusan (yang dikuasai UMNO), Maika Holdings (kepunyaan MIC), Daim Zainuddin sendiri dan kumpulan Syed Kechik yang kini bankrap.

Selepas itu, kumpulan New Straits Times (NST) - yang dipegang UMNO melalui Fleet mulai awal tahun 1970-an dan kemudiannya oleh kumpulan Renong, yang diuruskan oleh anak emas Daim - telah mengambil alih TV3, yang ketika itu menguntungkan, daripada pemegang saham minoriti lain. Kemudian, syarikat itu dibeli majikannya, melalui Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), pada awal tahun 1993, dengan bantuan besar Quek Leng Chan daripada kumpulan Hong Leong (bank).

Dengan demikian, TV3 dan kumpulan NST dikuasai oleh orang yang rapat dengan Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, yang telah membantunya menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri (Gomez 1990; 1994).

Sports Toto

Pada tahun 1985, 70 peratus daripada Sports Toto, yang mempunyai potensi besar untuk membawa keuntungan, telah dijual - tanpa pengumuman awal bahawa kerajaan ingin menjualnya - kepada B&B Enterprise Sdn Bhd, yang dikuasai oleh Vincent Tan (60%) dan Melewar Corporation, kepunyaan Tunku Abdullah (10%), dengan harga rendah.

Vincent Tan dikatakan rapat dengan Daim, yang ketika itu baru dilantik Menteri Kewangan, sementara Tunku Abdullah terkenal sebagai sahabat karib Mahathir sekurang-kurangnya sejak tahun 1960-an (Gomez 1990; 1994). Tan kemudiannya membeli saham Tunku Abdullah.

Dengan usaha penjualan yang agresif, tanpa mempedulikan kesan sosial perjudian, Sports Toto menjadi jauh lebih menguntungkan dan memberi sumbangan tiga kali ganda kepada kerajaan (Jonas et al. 1992b). Walaupun Sports Toto kurang cekap dibandingkan dengan syarikat perjudian lain di Malaysia, syarikat itu menjadi aset yang paling menguntungkan dalam konglomerat Berjaya milik Vincent Tan.

Keuntungan Sports Toto bertambah kerana kadar cukainya - yang ditentukan oleh Menteri Kewangan - lebih rendah berbanding dengan operasi perjudian lain, sedangkan sumbangan terhadap pembangunan sukan di Malaysia sebenarnya sederhana walaupun mendapat publisiti hebat.

Loteri dan Big Sweep

Lesen loteri pernah diberi kepada Kelab Lumba Kuda Selangor, Perak dan Pulau Pinang yang menjual tiket loteri sempena perlumbaan kuda, tetapi hanya kepada ahli mereka.

Pada September 1988, lesen loteri yang menggantikannya - Big Sweep - diberi kepada Pan Malaysian Sweeps Sdn Bhd yang baru dikorporatkan pada Julai 1988, kepunyaan Ananda Krishnan, seorang lagi kenalan rapat Mahathir (NST, 16 Feb 1989).

Tiket loterinya pula dapat dijual kepada orang awam sejak Feb 1989. Hadiah Big Sweep jauh lebih lumayan daripada loteri yang pernah dikendalikan oleh Kementerian Kebajikan Masyarakat Malaysia, yang ditutup oleh kerajaan, atas alasan bertentangan dengan nilai Islam. Lantas Big Sweep memonopoli loteri di Malaysia.

nota: terlalu panjang, saya tinggalkan bab penglibatan Ananda melalui Usaha Tegas Sdn Bhd di dalam menguruskan perjudian tekaan nombor (dikenali sebagai 4 Digit / 4 nombor ekor).

Infrastruktur - jalan

Pada tahun 1987, projek simpang bertingkat Jalan Kuching/Jalan Kepong bernilai RM86 juta dikontrakkan kepada syarikat Bumiputra bermodal RM2, Seri Angkasa Sdn Bhd, yang ditubuhkan oleh keluarga Datuk Lim Ah Tam.

Kemudiannya, Seri Angkasa dimiliki 35% oleh Sri Alu Sdn Bhd, milik Wahab Zainuddin - abang Daim, Menteri Kewangan ketika itu, yang bertanggungjawab memberi kontrak ini - dan Hasan Abas, yang telah bekerja dengan Daim di Paremba pada awal tahun 1980-an.

Keseluruhan projek ini dikontrakkan kepada Mitsui Corporation daripada Jepun dan dibiayai oleh pinjaman yang dijamin secara peribadi oleh Wahab, Mohamed Amir Senawi (anak saudara Daim yang menjadi pengarah Seri Angkasa) serta rakan perniagaan mereka.

Projek lumayan "bina-operasi-pindah" ini membolehkan keluarga Lim mengambil alih Kamunting Corporation, dan akhirnya, Multi-Purpose Holdings, syarikat kedua terbesar di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) setelah Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang dibiayai kerajaan (rujuk Jomo et al., 1989; Gomez 1992).

nota: terlalu panjang, menyentuh perihal kontrak pembinaan dan operasi Lebuh Raya Utara Selatan (LUS) kepada UEM, yang telah disentuh pada artikel sebelum ini.

Infrastruktur - kumbahan

Pada tahun 1993, Indah Water Konsortium Sdn Bhd - milik kumpulan syarikat Vincent Tan, Berjaya Group Berhad, yang menguasai 20 peratus saham - diberi, tanpa proses tender, projek pembetungan negara bernilai RM6 billion (The Star 18 Mei 1993). IWK dikatakan sebenarnya mewakili Northwest Water (Malaysia) Sdn Bhd, iaitu anak syarikat kepada syarikat air British yang diswastakan.

Kontrak tersebut melibatkan "143 pihak berkuasa di seluruh Malaysia bagi mengurus, menjalankan dan mengendalikan sistem pembetungan bandar selama 28 tahun" (Malaysian Business 16 Dis 1993).

Sebelum itu, Berjaya Group hanya terlibat dalam projek kecil pembinaan jalan raya di Malaysia, dan tidak mempunyai pengalaman ataupun kemampuan untuk menjayakan projek pembetungan negara (Far Eastern Economic Review 1 April 1993).

Infrastruktur - hidroelektrik

Pada awal tahun 1994, kerajaan telah mengumumkan penswastaan projek empangan hidroelektrik Bakun, bernilai RM15 billion, di Sarawak.

Sebelum itu, projek Bakun telah DIBATALKAN kerajaan pada akhir tahun 1980-an setelah bantahan daripada pencinta alam dan mereka yang meragukan kebolehlaksanaan teknikal dan ekonomi projek itu.

Kontrak tanpa tender itu diberikan kepada Ekran Bhd, yang dikuasai hartawan balak dan pembinaan, Ting Pek Khiing. Ting merupakan satu lagi rakan rapat Mahathir, Daim dan Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud (Asian Wall Street Journal 2 Feb 1994).

(google images)

Pemegang saham Ekram yang lain termasuklah Robert Tan, anak buah Daim dan Shuaib Lazim, yang mempunyai hubungan rapat dengan Mahathir - yang telah menerima dan gagal dalam kontrak yang diswastakan untuk membangunkan pusat perdagangan di bawah Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

Setelah bermulanya krisis kewangan serantau pada pertengahan 1997, Menteri Kewangan ketika itu, Anwar Ibrahim, mengumumkan pengurangan pelbagai "projek mega" pada akhir tahun itu, termasuklah projek empangan Bakun. Perdana Menteri telah masuk campur tangan bagi memastikan kontraktor-kontraktor projek itu diberi ganti rugi yang lumayan dan cepat bagi kerja yang dibuat.

Setelah memecat dan memenjarakan Anwar pada September 1998, dan menang dalam pilihanraya umum pada akhir tahun 1999, Dr Mahathir telah memulihkan semula projek Bakun walaupun ada keraguan serius tentang kapasiti sebenar empangan baru itu untuk menjana kuasa.

Dengan gugurnya cadangan kontroversi sambungan kabel kuasa dasar laut, tenaga yang akan dijana melebihi keperluan seluruh pulau Kalimantan/Borneo. Cadangan kilang melebur bauksit yang memerlukan banyak tenaga murah dipersoalkan memandangkan kesan buruknya terhadap alam sekitar dan kos tinggi tenaga yang akan dijana.

Beberapa eksekutif tinggi Tenaga Nasional, yang dikuasai kerajaan, dipercayai pernah diganti akibat bantahan mereka terhadap projek Empangan Bakun.

-----------------------
Dipetik tanpa olahan daripada: Jomo, K. S. (2010). Warisan Ekonomi Mahathir. Utusan Publications & Distributors.


Ringkas mengenai Jomo:

Jomo Kwame Sundaram (born 11 December 1952), known as Jomo, is a prominent Malaysian economist, who has served as the United Nations Assistant Secretary-General for Economic Development in the United Nations Department of Economic and Social Affairs (DESA) since 2005. He was founder chair of International Development Economics Associates (IDEAs), and sat on the Board of the United Nations Research Institute For Social Development (UNRISD), Geneva. In 2007, he was awarded the Wassily Leontief Prize for Advancing the Frontiers of Economic Thought. During 2008-2009, he served as adviser to Father Miguel d’Escoto Brockmann, President of the 63rd United Nations General Assembly, and as a member of the [Stiglitz] Commission of Experts of the President of the United Nations General Assembly on Reforms of the International Monetary and Financial System. Jomo is a leading scholar and expert on the political economy of development, especially in Southeast Asia, who has authored or edited over a hundred books and translated 12 volumes besides writing many academic papers and articles for the media. He is on the editorial boards of several learned journals. Before joining the UN, Jomo was already widely recognized as an outspoken intellectual, with unorthodox non-partisan views. 

Lanjut ---> wikipedia

No comments: